Friday, October 30, 2009

rosy day

Hari ini saya gembira...lalalalala~

Semalam yang stress dan merimaskan sudah pergi.
Hari ini saya sepatutnya ada kursus BLS (Basic Life Support) di Tallaght pada jam 0900. Dalam bengang-bengang semalam sempat juga saya habiskan nota-nota BLS yang dikirim oleh tutor melalui emel.

Pagi tadi saya bangun awal. Yalah, semalam pun tidur awal sebab geram tak boleh studi. Nak telefon Mira kasihan pulak menganggu dia pagi-pagi buta di Malaysia. Maka tidurlah... Tadi bangun-bangun saja sudah hepi, hehe...

Saya bersiap lebih awal, dan ambil keputusan untuk datang awal ke hospital. Ada Grand Round pada pukul 8. Hari ini Prof Ian Graham bagi presentation "A Rose by any other name!". Prof Graham ni salah seorang pensyarah saya. Kalau sesiapa yang berada dalam bidang medik ni mungkin tahu tentang SCORE, sistem mengira risiko kematian akibat penyakit jantung. Dialah salah seorang pelopor sistem tersebut.

Selalunya saya tidaklah rajin sangat untuk menghadiri acara-acara di luar silibus ni, tapi mood baik punya pasal saya pergi juga. Selepas Grand Round ada sarapan yang sedap (sebab ada danish pastry yang saya suka, yummy~) dan kemudian BLS!!

Kursus BLS untuk dewasa, kanak-kanak dan bayi ini sebenarnya tidaklah lama sangat. Ini kursus pembaharuan. Saya sudah pernah membuatknya pada tahun yang sudah. Kami cuma diberi taklimat yang pantas tetapi lengkap sebelum diuji secara praktikal. Di akhir kursus ada satu kertas MCQ untuk dijawab. Jika lulus, kami akan diberi sijil untuk 2 tahun. Lepas tu kena renew lagi (dan bayar yuran lagi, hehe)...

Alhamdulillah, alhamdulillah.

Nota: Saya dan semua rakan yang hadir kursus tadi sudah lulus dengan gembira.

Thursday, October 29, 2009

kena panah


Tak tahu nak luahkan pada di mana atau pada siapa yang paling sesuai. Akhirnya kat sini jugaklah saya melambak luahan fikiran dan perasaan. Haru betul hari ni. Tak jumpa di mana silapnya sampai jadi macam ni hari ini. Rasa-rasanya Chicken Adobo resepi Filipina yang Christine masak semalam tak ada kaitan dengan kejadian-kejadian aneh hari ni.

Sebenarnya bukanlah aneh sangat perkara yag berlaku hari ini. Tapi kalau dah 3 peristiwa hampir serupa berlaku pada hari yang sama saya jadi musykil juga. Itupun saya sangat suspicious dan berusaha mengelak yang keempat memunculkan diri. Aduh!

Saya kena panah cupid ke? Atau ada orang simbah dengan minyak pengasih ke? Alahai... saya yang dah buat silap apa pulak ni... Hmm, ini pantun khas untuk diri saya sendiri:
Dalam semak ada duri
Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi
Bagai anjing dengan bayang-bayang
(Saya masih ingat lagi lukisan yang ditampal dalam buku latihan BM semasa belajar pantun ini.)

Saya tak mahulah cerita satu-persatu apa yang terjadi. Tapi nak jugak luahkan perasaan kan, makanya tulislah sekerat-sekerat. Ergghh! Perasaannya bercampur-campur. Takla sedap sangat macam air batu campur yang sejuk dan manis. Rasa yang ini acah-acah manis campur pahit tambah masam dengan masin.

Kala kita makin dewasa, lebih banyak hati untuk dijaga. Saat kita memilih kita fikir kita sudah sanggup hadapi semuanya. Tapi siapa tahu masa depan, bukan? Apa-apa pun, semua dah selesai (harap-harapnya lah)... Saya dah cuba uruskan semuanya sebaik yang termampu hari ini. Mohon maaf yang amat sangat jika ada hati-hati yang tercalar terguris dengan kelemahan saya menyusun kata. Sebenarnya terlalu sukar untuk saya hampakan kalian. Malah saya sungguh berterima kasih atas perhatian kalian. Tetapi, ada perkara yang patut dilakukan juga walaupun kita tidak gembira melakukannya.

Alhamdulillah, saya tetap menganggap semuanya rahmat dari Tuhan. Dia yang mencampakkan rahmat-Nya pada siapa yang Dia kehendaki. Tapi, saya juga tak tahu kalau-kalau ia merupakan 'tanda' supaya saya melakukan sesuatu. Atau, barangkali juga ini sekadar ujian untuk saya meskipun saya masih kabur maksud di sebalik semuanya.

Hari ini saya mengulang kenyataan yang jarang-jarang saya nyatakan. Saya ulang berkali-kali. Moga ditetapkan hati saya. Moga kata-kata menjadi doa. Amiin.


Nota: Hujung minggu lepas saya sempat mengambil gambar di Grand Canal (parit besar?) of Dublin yang berdekatan sahaja dengan rumah. This photo has been heavily edited since the original photo was slightly blurred. Well, my camera is only 7MP and it doesn't come with a telephoto lens. Ada sesapa nak belanja DSLR? Wahahaha...

Friday, October 16, 2009

tunggu pelangi


Beberapa minggu kebelakangan yang saya hadapi memang begitu menguji. Sehinggakan saya sangat 'penat' dan 'letih' menghadapi pelbagai kerenah manusia sekeliling. Bukanlah saya maksudkan semuanya. Tapi adalah beberapa yang menekan perasaan dan fikiran saya. Ditambah pula dengan kesabaran saya yang lebih nipis dari kulit bawang ini, fikiran jadi makin kecamuk, pertimbangan pula teroleng-oleng.

Saya mesti jadi lebih kuat, jadi lebih rajin, jadi lebih sabar. Saya akan bekerja dan berhubung dengan manusia seluruh hidup saya. Macam-macam perangai lagi yang akan menguji kematangan diri. Apa saja yang datang, apa saja yang berlaku, saya mesti redha, mesti redha, mesti redha. Moga-moga ini semua latihan yang bakal membentuk diri saya yang lebih baik dan membawa kebaikan.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Besar rasa kasih dan sayang-Nya, ampunilah ya Allah segala dosa dan kesalahanku. Ya Rahman, kekalkanlah hamba-Mu ini dalam jagaanMu setiap masa. Ya Rahiim, janganlah Engkau tinggalkan hamba-Mu ini walau sesaat ya Allah. Sesungguhnya, tiada penjaga sebaik Tuhan yang Maha Esa. Amiin ya rabbal 'alamiin.

Tuesday, October 13, 2009

hakisan rasa

Minggu lepas dan minggu ini saya ditempatkan bersama Breast/General Surgery Team di St James's Hospital. Ada 3 orang kosultan dalam team ini. Kes-kes yang ditangani oleh team ini kebanyakannya berkaitan penyakit-penyakit di bahagian abdomen seperti sakit perut (??? ya, sakit perut), pankreas, usus dan juga kes-kes kanser payudara.

Seperti biasa, kami pelajar-pelajar perubatan ini akan menyertai ward round seawal jam 7.30 pagi kemudian menemui beberapa orang pesakit untuk berlatih history taking dan physical examination. Selain itu, ada juga klinik dan MDM (multi-disciplinary meeting). Kali ini kami pakat-pakat tak mahu masuk ke teater bedah kerana kami sudah puas membosankan diri berdiri di dalam teater sepanjang tahun 3 dulu. Lagipun, tidak banyak yang boleh dipelajari di dalam bilik sejuk itu.

Saya sendiri telah berbual dengan beberapa orang pesakit yang disahkan menghidap kanser payudara. Sebahagian mereka telah menjalani WLE (wide local excision) atau mastectomy (membuang payudara). Susah saya nak katakan apa yang saya rasa apabila pesakit enggan melihat sendiri parut mereka. Saya bayangkan tentu ia sesuatu yang sukar untuk mereka terima, cuma masa yang akan mengisi kehilangan tersebut.

Tetapi, apabila berbual dengan mereka, saya sebenarnya sangat kagum dengan kebanyakan mereka. Mereka sangat tabah. Malah, apabila saya meminta kebenaran untuk berlatih mengambil kes dan membuat pemeriksaan, mereka tidak teragak-agak untuk membantu. Padahal sudah saya katakan yang semua ini untuk tujuan latihan saya sendiri sahaja. Lebih mengharukan apabila berterima kasih pula kepada saya sedangkan mereka yang membantu saya belajar.

Walau bagaimanapun, simpati saya sebenarnya habis di situ saja. Sebaik sahaja saya berjumpa pesakit lain, saya akan fokus kepada mereka pula. Apabila pulang ke rumah pula, saya hanya akan fikirkan tentang timbunan buku-buku yang perlu dibaca dan segala senarai panjang yang mesti dihafal.

Hipokrit? Tak ada perasaan? Mementingkan diri sendiri? Apa lagi?
Inilah yang kami bincangkan sambil minum kopi di bilik seminar radiologi pagi semalam. Apabila diingat-ingat kembali, kami tidak begini semasa kami mula-mula masuk tahun 1 dahulu. Sekali dengar betullah juga kata salah seorang pensyarah kami dahulu, "Medical school is a place where you will be contaminated dan 'humanity' to be eroded..."

Tapi kami bertiga tidak bersetuju dengan beliau. Dan saya pasti beliau cuma berjenaka. Empati dalam diri kami sudah menjadi salah satu etika kerja. Sama seperti kualiti-kualiti lain yang perlu diamalkan semasa bekerja. Perasaan itu tidak dan tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang bersifat peribadi. Ia seperti satu mekanisma pertahanan terhadap kesihatan mental para pengamal perubatan.

Kadang-kadang kami terbawa-bawa peranan ini ke luar hospital. Apabila ini terjadi, adalah pula pihak yang mugkin berkecil hati nanti. Seolah-olah kami tidak cukup mengambil berat. Saya setuju kami tidak patut bersikap demikian. Tapi bukankah kami juga manusia biasa, yang boleh lupa, penat dan sakit?

Saya harap saya akan dapat memberi jagaan yang baik kepada bakal pesakit saya, dapat menjaga kesihatan diri sendiri dan menjaga hati kawan-kawan dan ahli keluarga apabila saya berjaya menjadi doktor kelak. Semua orang ada hak. Dan semua orang juga ada tanggungjawab.

Responsibilities over rights.

Sunday, October 11, 2009

cerita komputer saya

Laptop saya bermasalah sejak hari Jumaat yag lepas. Inilah akibatnya apabila tidak peduli untuk update perisian antivirus. Saya memang ambil mudah hal-hal sebegini. Yakin sangat dengan halaman-halaman yang saya lawati. Sudahnya laptop tua saya ni dijangkiti malware.

Berkali-kali saya cuba conservative measure. Kononnya nak selamatkan fail-fail yang ada lah kan... Paling saya sayang ialah gambar-gambar yang diambil semasa balik cuti musim panas ke Malaysia Julai dan Ogos yang lepas. Gambar-gambar yang lain saya simpan dalam hard disk. Akhirnya saya berjaya juga selamatkan gambar-gambar tersebut.

Tapi, banyak infected files yang gagal dihapuskan. Maka saya terpaksa reformat laptop saya. Sudahlah saya ni rabun ayam pasal komputer. Grace, rakan serumah saya banyak sangat membantu. Semuanya dah selesai. Saya cuma mahu install perisian antivirus yang bagus saja lagi. Sekarang saya guna trial version McAfee. Setakat ini semuanya baik-baik saja.

Jadi, selepas ini saya mesti rajin-rajin bersabar untuk update perisian antivirus. Nasib saya baik kali ini. Tapi ada bagusnya juga. Saya memang mahu reformat laptop saya. Selalunya saya akan buat overhaul setahun sekali. Tahun ini saja saya tidak berkesempatan menghantar laptop saya ke 'bengkel'. Sibuk lari ke sana-sini. Posting elektif di Kuantan, sekejap balik rumah abah di Lepar Utara, sekejap balik rumah emak di Selancar, mana nak balik kampung lagi, mana nak uruskan pindah rumah baru lagi...

Nota: Saya ada mahu tulis sesuatu hari Jumaat yang lepas. Tapi, hari ini saya dah lupa lah pulak. Lain kali sajalah nampaknya.

Thursday, October 8, 2009

mentari muncul lagi, hari sudah pagi

Alhamdulillah, sudah rasa lebih bersemangat sehari dua ini.

Semalam tidak masuk wad. Ada lecture di AMNCH Trinity Centre. Walaupun tidak dapat tangkap semua yang disampaikan (otak saya masih kurang RAM berbanding pensyarah-pensyarah saya!) tapi banyak yang dipelajari.

Saya paling suka lecture Emergency Medicine tentang Shock. Apa ya dalam bahasa Melayu? Terperanjat?? Ohoo... mungkin tidak. Siapa tahu tolonglah beritahu saya nanti. Tapi jika Konsultan Perubatan Kecemasan (cewah... translasi yang baik ni) Dr J Gray bercakap lebih jelas mungkin saya akan lebih gembira. Irish accentnya memenatkan saya menumpukan 112% perhatian.

Hari ini pula saya berjumpa Triona buat pertama kali. Dia tutor clinical skills yang baru di St James Trinity Centre. Clare yang baik hati itu sedang cuti bersalin. Saya sangat terharu dengan kesungguhannya melayan kami. Sebenarnya, sebelum ini saya based (nanti saya fikirkan bahasa Melayunya) di AMNCH. Jadual kami sedikit berbeza. Dia sanggup mengajar saya seorang demi memastikan saya tidak tertinggal prosedur tersebut. Malah, dia mengajar dengan bersungguh-sungguh! Sedangkan saya tahu dia sangat sibuk.

Betapa beruntungnya saya kan? Saya dikelilingi oleh orang-orang yang dedikasi dan proaktif. Banyak yang saya boleh pelajari dengan hanya bersama mereka. Focus on the bright side!

Nota: Semalam saya sangat merindukan adik saya Mira. Minggu lepas dapat bercakap sekejap sahaja di telefon. Hujung minggu ini mesti mahu telefon dia lagi =)

Nota: Tahniah untuk rakan baik saya, Sarah yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di UPM. Sarah akan buat kajian dalam bidang immunologi, subjek yang saya minati semasa dalam tahun 3 dulu.

Tuesday, October 6, 2009

bencinta

Hari ini terasa seperti berada di alam pelarian. Ya, mungkin itu diskripsi yang paling hampir untuk membayangkan fikiran saya sepanjang hari ini.

Bangun pagi saja sudah hati sudah berbolak-balik. Tak ketahuan. Malas? Mahu? Takut? Letih? Sudah saya katakan tak ketahuan. Sudahnya saya tidur semula. Terbangun saja sudah jam 6.50 am barangkali. Kelam kabut ke bilik air dan solat. Sudah lambat untuk berjalan ke hospital. Dengan fikiran yang hanyut, saya tunggu bas dalam dingin subuh dan hujan renyai-renyai dengan perasaan yang kosong.

Hari ini pulang ke rumah lebih awal dari biasa. Sepatutnya saya isi masa dengan belajar. Tapi memang susah bertambah susah. Saya sekadar merayau-rayau di alam siber tanpa arah tujuan. Tanpa minat. Dan tentunya tanpa hasil.

Lepas Maghrib, saya cuba menenangkan hati dengan membaca Quran. Sekejap sahaja. Bermacam perkara berlari-lari dalam minda. Urusan-urusan yang tiada asal-usul dan hujung pangkalnya, yang tiada perlu, tiada pentingnya. Yakah? Usai Isyak saya solat sunat taubat dan hajat. Ini ubat tahan sakit tau.

Saya tahu kerinduan-kerinduan saya. Pada kenyataan dan erti kehidupan. Saya sedar letih perit jerih payah itulah yang memaniskan hidup dan melenakan malam saya. Tapi, umpama cemburu saya pada ilmu dan dengki saya pada buku, segala perang ini akan berterusan.

Saya tahu.
Dan saya tahu tidak cukup sekadar tahu.

Monday, October 5, 2009

sayang blog

Sayang anak tangan-tangankan
Sayang isteri tinggal-tinggalkan

Agaknya saya sayang juga la pada blog ni. Kewujudannya lebih sering terlupakan daripada teringatkan...

Tahun ini, insya Allah akan jadi tahun terakhir saya di Dublin. Bila saya sebutkan 'tahun' saya seringkali perlu menjelaskan bahawa 'tahun' saya bermula pada bulan September dan berakhir bulan Jun. Yang bulan Julai dan Ogos tu kadang-kadang masuk tahun sebelumnya, kadang-kadang hilang begitu saja.

Tahun akhir. Banyak yang saya debarkan. Dan saya ada masalah meluahkan 'rasa'. Semacam tidak selamat. Seolah-olah ada badi yang menunggu. Hah, tahyul!

Aduhai...