Tuesday, October 13, 2009

hakisan rasa

Minggu lepas dan minggu ini saya ditempatkan bersama Breast/General Surgery Team di St James's Hospital. Ada 3 orang kosultan dalam team ini. Kes-kes yang ditangani oleh team ini kebanyakannya berkaitan penyakit-penyakit di bahagian abdomen seperti sakit perut (??? ya, sakit perut), pankreas, usus dan juga kes-kes kanser payudara.

Seperti biasa, kami pelajar-pelajar perubatan ini akan menyertai ward round seawal jam 7.30 pagi kemudian menemui beberapa orang pesakit untuk berlatih history taking dan physical examination. Selain itu, ada juga klinik dan MDM (multi-disciplinary meeting). Kali ini kami pakat-pakat tak mahu masuk ke teater bedah kerana kami sudah puas membosankan diri berdiri di dalam teater sepanjang tahun 3 dulu. Lagipun, tidak banyak yang boleh dipelajari di dalam bilik sejuk itu.

Saya sendiri telah berbual dengan beberapa orang pesakit yang disahkan menghidap kanser payudara. Sebahagian mereka telah menjalani WLE (wide local excision) atau mastectomy (membuang payudara). Susah saya nak katakan apa yang saya rasa apabila pesakit enggan melihat sendiri parut mereka. Saya bayangkan tentu ia sesuatu yang sukar untuk mereka terima, cuma masa yang akan mengisi kehilangan tersebut.

Tetapi, apabila berbual dengan mereka, saya sebenarnya sangat kagum dengan kebanyakan mereka. Mereka sangat tabah. Malah, apabila saya meminta kebenaran untuk berlatih mengambil kes dan membuat pemeriksaan, mereka tidak teragak-agak untuk membantu. Padahal sudah saya katakan yang semua ini untuk tujuan latihan saya sendiri sahaja. Lebih mengharukan apabila berterima kasih pula kepada saya sedangkan mereka yang membantu saya belajar.

Walau bagaimanapun, simpati saya sebenarnya habis di situ saja. Sebaik sahaja saya berjumpa pesakit lain, saya akan fokus kepada mereka pula. Apabila pulang ke rumah pula, saya hanya akan fikirkan tentang timbunan buku-buku yang perlu dibaca dan segala senarai panjang yang mesti dihafal.

Hipokrit? Tak ada perasaan? Mementingkan diri sendiri? Apa lagi?
Inilah yang kami bincangkan sambil minum kopi di bilik seminar radiologi pagi semalam. Apabila diingat-ingat kembali, kami tidak begini semasa kami mula-mula masuk tahun 1 dahulu. Sekali dengar betullah juga kata salah seorang pensyarah kami dahulu, "Medical school is a place where you will be contaminated dan 'humanity' to be eroded..."

Tapi kami bertiga tidak bersetuju dengan beliau. Dan saya pasti beliau cuma berjenaka. Empati dalam diri kami sudah menjadi salah satu etika kerja. Sama seperti kualiti-kualiti lain yang perlu diamalkan semasa bekerja. Perasaan itu tidak dan tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang bersifat peribadi. Ia seperti satu mekanisma pertahanan terhadap kesihatan mental para pengamal perubatan.

Kadang-kadang kami terbawa-bawa peranan ini ke luar hospital. Apabila ini terjadi, adalah pula pihak yang mugkin berkecil hati nanti. Seolah-olah kami tidak cukup mengambil berat. Saya setuju kami tidak patut bersikap demikian. Tapi bukankah kami juga manusia biasa, yang boleh lupa, penat dan sakit?

Saya harap saya akan dapat memberi jagaan yang baik kepada bakal pesakit saya, dapat menjaga kesihatan diri sendiri dan menjaga hati kawan-kawan dan ahli keluarga apabila saya berjaya menjadi doktor kelak. Semua orang ada hak. Dan semua orang juga ada tanggungjawab.

Responsibilities over rights.

1 comment:

  1. bukan setakat doktor, malah profession lain yang memerlukan etika dan nilai adalah hipokrit yang dicipta untuk kerja.

    di Jepun , budaya sopan dan disiplin adalah hipokrit yang merupakan undang-undang untuk kestabilan hidup masyarakat di sini.

    masuk kedai anda akan dipersembahkan dengan senyuman, jika anda rasa tidak puas hati dengan produk di kedai akan disambut dengan tundukan minta maaf dari pekedai, jika anda keluar kedai akan dihantar hingga ke pintu dan dilambai. adakah mereka benar-benar punya perasaan ketika melakukan segala gerak geri itu? tidak. ia dilatih sebelum mereka bekerja lagi.

    tapi siapa kita untuk membelah hati orang. walaupun semua orang yang sudah mengikut sistem-sistem dunia yang piawai boleh berasa diri mereka sedang diprogramkan sejak kecil hingga bekerja. jangan terkejut nanti akan tiba satu zaman suami dan isteri pun bermesra hanya kerana tugas dan tanggungjawab bermesra saja. tidak ada lagi perasaan dalam hati-hati manusia 'robot' ini.

    siapa yang salah?

    kita. kita tak berani meruntuhkan tembok program sistem ini.

    ReplyDelete

says